Masa Kehidupan Kita

Oleh : Siti Fatimah Yusuf.

Masa adalah amanah dari Allah. Setiap amanah akan dipersoal kelak pada hari kiamat. Orang yang hebat akan bijak mengurus masa untuk melaksanakan perintah Allah. Manakala orang yang Ghaflah iaitu (lalai) adalah orang yang sentiasa leka dari melaksanakan perintah Allah. Mereka mengharapkan keredhoaan Allah tetapi amat malas melakukan amalan ketaatan dan dalam masa yang sama tidak meninggalkan larangan Allah.

Masa akan terus berlalu dalam kehidupan manusia dengan pantas. Masa akan meninggalkan manusia dalam dua golongan. Golongan yang pertama ialah golongan yang berjaya kerana mengambil kira kepentingan masa dalam kehidupan. Manakala golongan yang kedua ialah golongan yang sentiasa berada di dalam kerugian yang bertambah – tambah dari hari demi hari kerana membiarkan masa berlalu tanpa amalan ketaatan kepada tuhan.

Marilah kita renungkan firman Allah dalam Surah Al – Asr iaitu Surah Masa. Satu surah yang menjadi amalan kita tatkala ingin menutup majlis atau mengakhiri mesyuarat. Tetapi agak malang surah ini hanya tinggal bacaan di bibir tapi jauh dari segi pengamalan dalam diri dan kehidupan kita seharian. Firman Allah SWT :

Maksudnya : Demi masa sesungguhnya manusia itu benar -benar berada di dalam kerugian. Melainkan orang – orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Dan nasihat – menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran.

Kata pujangga masa adalah emas kerana terlalu berharga. Masa tiada galang ganti setara dengannya. Masa tidak boleh dibeli apatah lagi dijual di mana – mana pusat membeli belah. Berusaha mendapatkan masa yang telah berlalu dengan menukar emas sebagai ganti adalah suatu yang mustahil. Tidak cukup dengan itu masa juga ibarat pedang tajam yang sentiasa memotong. Andai kita gagal merancang dan memikirkan pengurusan masa, pedang masa itu akan memancung dan memotong serta menghancur lumatkan kehidupan kita. Sebenarnya hakikat masa itu adalah satu bentuk amanah kehidupan dari Allah yang tidak akan kembali setelah ianya berlalu sehinggalah hari Kiamat. Masa yang kita lalui di dunia ini akan dibuka semula di hadapan mahkamah Allah untuk dihitung segala amalan.

Kehidupan dunia hanyalah ibarat sepagi atau sepetang sahaja bukannya lama seperti jangkaan kita. Kehidupan yang kekal dan tahan lama tanpa binasa adalah kehidupan di akhirat nanti. Kehidupan dunia bukan sahaja bersifat sementara tetapi juga akan binasa sepertimana Firman Allah dalam Surah Yunus ayat 24.

Maksudnya :      Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit. Lalu tumbuhlah dengan suburnya tanaman di bumi dari jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang. Sehinggalah apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahan dan dihiasi dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni. Lalu penduduknya pun menyangka bahawa mereka boleh mendapatkan berbagai-bagai tanaman serta memperolehi hasil lantas datanglah perintah Kami menimpakan dengan bencana pada waktu malam atau pada waktu siang hari. Lalu Kami jadikan dunia ini hancur – lebur,  seolah – olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami jelaskan ayat – ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir dan mengambil iktibar daripadanya.

Di dalam Al – Quran kita dapati Allah SWT telah bersumpah dengan makhluk ciptaannya iaitu masa. Manusia wajar mengambil perhatian dengan sumpahan Allah ini. Antara firman Allah والعصر ) (Demi Masa, (( والضحى Demi Waktu Dhuha,)           والليل)Demi Waktu Malam dan والشمس وضحاحى))Demi Matahari Dan Waktu Dhuha. Kelalaian kita mengambil berat tentang pengurusan masa akan menyebabkan kita lalai dan terus ditipu dengan kehidupan dunia yang begitu pantas meninggalkan kita. Walaupun masa amat penting kepada kita tetapi bukan masa yang menentukan kehidupan kita.

Janganlah ada di antara kita yang meniru golongan Ad Dahri iaitu  golongan yang menjadikan dunia ini sebagai destinasi pilihan. Sedangkan kehidupan kita yang sebenar adalah di akhirat yang abadi. Mengejar masa untuk mengutip habuan keduniaan tanpa memikirkan kehidupan selepas mati adalah sikap orang tertipu dengan masa. Mereka merasakan hidup dan mati adalah sama dan tiadalah yang membinasakan mereka melainkan zaman yang terus beredar silih berganti. Inilah sikap mereka yang Allah rakamkan dalam Surah Al – Jaasiyah ayat 24 .(

Maksudnya : Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup silih berganti dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan peredaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu. Mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

Islam adalah agama yang meletakkan pengurusan masa sebagai teras kecemerlangan. Pengibadatan dalam Islam amat berkait rapat dengan waktu dan masa. Orang yang cemerlang di dunia dan terbilang di akhirat adalah orang yang mencontohi baginda dalam menguruskan masa seharian mahupun di arena pekerjaan. Rasulullah SAW tidak akan membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa ada peningkatan dari segi kualiti ketaqwaan dan peningkatan mutu pekerjaan. Baginda amat menitik beratkan persoalan masa produktif iaitu masa muda. Perkara yang penting akan menjadi keutamaan manakala yang kurang impaknya akan dikemudiankan. Sehinggakan baginda mengingatkan bahawa, masa adalah amanah yang akan dipersoal kelak pada hari kiamat maksudnya :

Tidak akan berganjak kaki setiap hamba pada hari kiamat sehinggalah ditanya tentang empat perkara. Iaitu tentang umurnya ke mana dihabiskan. Tentang masa mudanya ke mana digunakannya. Tentang harta dari mana diperolehinya dan ke mana digunakannya dan tentang ilmunya apa yang diperbuat dengannya.

Dalam persoalan pengurusan masa, sama ada di peringkat pekerja mahupun pelajar kita tidak dapat lari dari membincangkan sifat masa. Masa akan terus berdetik dan berlalu tetapi tidak akan kembali. Masa yang berlalu tidak boleh dicari ganti. Masa amat pantas bergerak meninggalkan manusia tanpa menunggu kita sehinggalah apabila hampir menjelang hari kiamat masa sehari berlalu bagaikan satu percikan api atau sesaat sahaja. Satu sikap yang wajar dibuang ialah sikap suka menangguh. Hayatilah nasihat Saidina Ali kepada gabenor Mesir yang baru dilantik “Janganlah engkau berlengah – lengah lagi apabila sudah tiba masa untuk melakukannya”. Sikap bertangguh dalam kerjaya sesama manusia akan menyebabkan produktiviti kita menurun. Suka bertangguh untuk menguasai kecemerlangan akademik akan mengundang natijah yang kecundang. Manakala bertangguh  untuk bertaubat kepada Allah pula akan mengundang kesudahan umur di dunia ini dalam keadaan diri dipenuhi noda dan dosa. Seorang salafussoleh menasihati temannya :                                                   اخي لا تؤخر التوبة

ياتي بغتة فان الموت

Maksudnya : Wahai saudaraku janganlah kau tangguhkan taubat kepada tuhan, kerana sesungguhnya kedatangan mati itu adalah satu kejutan.

Dikesempatan masa dan usia yang masih ada,belajarlah untuk memberi,memberi roh dan jasad akan hak masing masing, memberi ilmu walau sekadar kalimah wahidah, memberi nasihat tatkala terlupa,memberi peluang kepada diri untuk melakukan perubahan,memberi masa dan waktu untuk ilmu,untuk sahabat,masyarakat dan Islam. Memberi kemaafan atas ketaksiran orang lain. Memberi pengertian dan jawapan kepada soalan kenapa kita yang perlu memberi?

Marilah kita gunakan peluang masa dan nikmat kehidupan yang dipinjamkan Allah untuk kita mencipta kecemerlangan berterusan di dunia ini, tanpa meminggirkan kecemerlangan di akhirat yang lebih abadi. Jadikan diri kita dalam golongan yang dijamin oleh Allah. Mereka dijamin tidak akan rugi di dunia dan akhirat. Mereka tidak lain tidak bukan ialah orang yang memiliki sifat

1) Orang yang beriman

2) orang yang beramal soleh

3) Orang yang berpesan dengan kebenaran dari Allah iaitu kebenaran Islam

4) Orang yang berpesan dengan kesabaran dalam menempuh ujian kehidupan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: