Hari esok Untuk Islam

Oleh: nada_aufa & khyar_damascus

Ketua Unit Penerangan dan Perhubungan,

Keluarga Anak Kedah Syria Sesi 2010.

Setelah kejatuhan empayar Islam Othmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya dan  tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh  yang begitu hebat.

Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya   al-fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka  bahawa kekufuran berleluasa, kejahatan menguasai  alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.

Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang salah yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan berterusan. Kuasa Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka para muslimin  seharusnya  tidak berputus asa dan yakin dengan janji Allah s.w.t bahawa golongan muslimin yang akan mentadbir  alam ini, walaupun puak-puak  kuffar cuba menghapuskannya.

Firman Allah Taala:

” Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai” (at Taubah: 32)

Sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini tanpa ada semangat juang untuk mengecapi apa yang telah dijanjikan Allah s.w.t merupakan sikap yang  sepatutnya  dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dikecapi oleh Islam pada suatu hari nanti.

Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w,  Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada para sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal  diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang cuba untuk membunuh baginda dengan menghadiahkan kalung Kisra raja  Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah masih mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah  menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi dengan penuh keyakinan. Sedangkan pada  saat itu umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai.

Berbekalkan keyakinan serta kepercayaan dengan janji utusan Allah s.w.t ini lantas para sahabat terus berjuang ,menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya merealitikan  jaminan dan janji  yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.

Fajar menyinsing

Tanda-tanda awal telah dapat kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Melihat kepada cahaya kebangkitan Islam telah mula menyinari  hampir setiap pelusuk dunia. Kepercayaan umat islam telah kembali terhadap kebenaran Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan revolusi  ini lantas mereka menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan ini merupakan ‘terrorist‘ dan ‘fundamentalist‘.

Di ketika ini kuasa besar dunia semakin hilang taringnya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan  kerajaaan komunis  yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan musuh tidak akan menjadi hak mutlak mereka. Pada saat ini juga  Amerika syarikat telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal meneraju  kepemimpinan negara telah mengalami  keruntuhan moral yang amat dahsyat. Mereka  mendabik dada dengan kekuatan yang dimiliki,pada hakikatnya mereka sedang menghampiri  saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

Inilah antara petanda awal bangkitnya Islam dan panji-panji islam akan dijulang tinggi. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda islam bangun melaungkan slogan Islam. Kebangkitan ini berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad.Berbekalkan keyakinan yang pasti dengan janji Allah s.w.t.

Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.

Sesungguhnya kekuatan barisan muslimin yang tidak ada pada gerakan yang lainnya. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam.  Contoh  yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada kita dalam menegakkan kembali islam. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan ‘Rabbani Taujih’ (panduan dari Allah) yang diberikan pada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Berbekalkan  pengalaman ini, ayuh kita mula mengatur langkah dalam menegakkan kembali Islam di muka bumi ini.

Para muslimin mempunyai kekuatan yang tidak dimiliki oleh mana-mana  pihak lain,dan dapat disimpulkan disini kekuatan tersebut  dibahagikan kepada 3:

Pertama:  Kekuatan kuantiti: Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia.  Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt:

“Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…”
(Al A’araf: 86).

Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: “Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris.”

Kedua: Hasil Bumi: Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semua ini merupakan milik muslimin.

Ketiga: Manhaj Rabbani: Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang mampu berfikir dengan waras tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.

Sikap kita

Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.

Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.

Jangan  mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan kita  masih lagi berpecah belah, berselisihan dan bertelagah sesama sendiri. Janganlah kita berangan-angan dengan kemenangan sedangkan kita masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

Mustahil kemenangan menjadi milik orang  y ang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil juga kemenangan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta’ala nanti.

Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar R.A kepada sahabatnya: ” Impikanlah” Seorang pemuda berkata: ” Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah.” Umar berkata lagi: “Impikanlah”. Seorang pemuda berkata: “Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah.” Umar berkata lagi: “Impikanlah”. Mereka berkata: “Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin” Umar pun berkata: “Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu akanku pohon pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah”.

Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini.

Semoga impian dan keinginan sayyidina Umar  R.A menjadi impian kita bersama,lantas  kita berusaha menjayakannya menjadi suatu kenyataan.

Wallahu A’alam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: