Aluan YDP sempena Dialog Terbuka, Majlis Sehari Bersama KKDS

Alhamdulillah, sedar atau tidak, tahun ini KKDS akan berumur 14 tahun setelah ditubuhkan pada tanggal 27 mac 1996 bersamaan 7 zulkaedah 1416  (hari rabu). Samada disambut dengan sesuatu majlis atau tidak, seharusnya kita generasi yang baru ini melahirkan rasa syukur yang tinggi kepada Allah dan berterimakasih diatas jasa dan tapak yang telah diasaskan oleh generasi terdahulu lalu kita dapat meneruskan nikmat kesejahteraan ini.

KKDS ditubuhkan dengan matlamat memperjuangkan kebajikan anak-anak Kedah di Syria samada dengan mewujudkan budaya bantu membantu sesama ahli atau mengangkat masalah-masalah kebajikan yang dihadapi oleh pelajar kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Misi ini merupakan misi asas dan rutin yang mesti dilangsungkan oleh sesiapa sahaja yang menerajui KKDS. Malangnya, kesedaran dari kalangan ahli terhadap budaya peduli kepada rakan-rakan dilihat semakin terhakis dan hambar tahun-tahun kebelakangan ini. Oleh yang demikian, hari ini KKDS akan melancarkan semula beberapa projek kebajikan yang akan melibatkan semua ahli untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga kebajikan rakan-rakan yang memerlukan.

Selain itu, adalah merupakan aspirasi KKDS untuk menjadi sebuah wadah yang akan melahirkan siswa siswi yang komprehensif dengan nilai-nilai pakej pendakwah dan pengislah sempurna yang diperlukan oleh masyarakat. Bukan sekadar menguasai ilmu dari sumber muktabar, tetapi dapat juga menguasai ilmu zaman. Justeru, KKDS tahun ini merancang untuk memperbanyakkan beberapa program nilai tambah sebagai bekalan yang mampu memenuhi aspirasi ini.

Atas aspirasi yang sama juga, KKDS tahun ini secara khusus mensasarkan usaha merembiskan upaya Helwi supaya peranan Helwi dapat disegar-bugarkan kembali. Kenyataan yang harus kita faham ialah ahli-ahli Helwi KKDS merupakan siswi-siswi yang ada kemampuan dan karisma, namun ironisnya Helwi KKDS sering dilihat lesu. Bukan sekadar itu, KKDS juga berhasrat agar ahli-ahli Helwi KKDS mampu menjadi generasi penerus kepada kepimpinan wanita yang diperlukan oleh masyarakat di negeri dan negara kita. Oleh itu, adalah menjadi harapan, semua pihak dapat memperkemaskan usaha-usaha yang lebih efektif dalam menjaga kebajikan helwi.

Mengambil kesempatan ini, seluruh Ahli Majlis Tertinggi KKDS yang terpilih dalam Muktamar Agung yang lepas merakamkan setinggi syukur kerana berpeluang mencurahkan bakti dalam menguruskan KKDS. Kami optimis dan percaya bahawa pemilihan ini adalah satu suara keyakinan dan harapan kepada kami untuk memimpin KKDS ke arah yang lebih baik. Justeru bantu dan berilah kerjasama kepada usaha-usaha kami. Harapan ahli yang mahukan KKDS lebih maju dan matang berdepan suasana baru di era hujung dekad pertama millennium ini pasti akan menjadi cabaran kepada kami untuk lebih progresif membina satu kumpulan pelajar yang mempunyai pakej sempurna yang diperlukan dalam menjunjung cita-cita melahirkan warga Kedah Sejahtera.

Akhirnya, demi mendukung cita-cita menjadikan KKDS wadah penyatuan siswa-siswi Kedah di Syria, marilah sama-sama semua anak Kedah yang berada di Syria datang ke program dialog terbuka dalam Majlis sehari Bersama KKDS pada hari Jumaat ini demi mempercambahkan idea, saranan dan membuat penilaian terhadap perancangan dan wawasan yang digagaskan dalam pentadbiran tahun ini. Sebagai ahli yang prihatin terhadap KKDS, saya fikir semua ahli mampu berkongsi dan musyarakah dalam dialog tersebut demi memastikan KKDS terus berada di landasan yang benar dalam memperjuangkan kebajikan pelajar Kedah seterusnya menjadi medan penyatuan anak-anak Kedah dalam membina jaringan pendakwah islam kedah yang akan membentuk budaya masyarakat Kedah dan Malaysia untuk 10 tahun akan datang.

Azfar bin Abdullah,

Yang Di-Pertua

Keluarga Anak Kedah Di Syria

( dapatkan ucapan penuh ucaptama beliau dalam majlis tersebut)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: